Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA kasih jari anak yatim BERJAYA MENCAPAI 149 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI

131  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0711.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah saw. ditanya orang perihal anak-anak orang musyrik. Sabda Nabi saw., "Allah Maha Tahu dengan keadaan mereka."

132  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0974.
Dari Rubayyi' binH Mu'awwidz r.a., katanya: "Pada suatu pagi di hari Asyura, Nabi saw. mengirim utusan ke desa-desa orang Ansar (untuk menyampaikan suatu pemberitahuan): "Barangsiapa telah makan pagi, hendaklah ia meneruskan sisa harinya (tanpa puasa), dan siapa yang telah puasa sejak pagi hendaklah ia teruskan puasanya," Kata Rubayyi', "Sesudah itu, kami biasa puasa pada tiap-tiap hari Asyura. Kami suruh anak-anak kami puasa, dan kami sediakan untuk mereka main-mainan terbuat dari bulu. Apabila seorang di antara mereka menangis minta makan, kami berikan main-mainan itu kepadanya sampai waktu berbuka."

133  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1086.
Dari 'Aisyah r.a., katanya:" Hindun, ibu Muawiyah, bertanya kepada Rasulullah saw., tanyanya: Sesungguhnya Abu Sufyan laki-laki yang kikir. Berdosakah aku jika ku ambil hartanya dengan jalan sembunyi?" Sabda Nabi saw.,"Ambillah untukmu dan untuk anak-anakmu sekadar mencukupi dengan cara yang baik."

134  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1770.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Ada beberapa orang bertanya: "Ya Rasulullah! Adakah kami melihat Tuhan di hari kiamat?" Jawab Nabi: "Adakah kamu ragu menampak matahari yang tidak ditutupi awan?" Jawab mereka: ''Tidak, ya Rasulullah!" Tanya Nabi: "Adakah kamu ragu menampak bulan di malam purnama yang tiada ditutupi awan?" Mereka menjawab: "Tidak, ya Rasulullah!" Nabi berkata: "Sesungguhnya begitulah kamu melihat Tuhan di hari kiamat." Tuhan akan mengumpulkan manusia (di hari kiamat), lalu Dia berfirman: "Siapa yang menyembah sesuatu, hendaklah diikutinya!" Lalu orang yang menyembah matahari, yang menyembah bulan dan yang menyembah berhala mengikuti pujaannya. Maka tinggallah umat ini (yang menyembah Allah), termasuk orang-orang munafik. Maka datanglah Tuhan kepada mereka dalam rupa yang bukan mereka ketahui, lalu Dia berkata: "Aku Tuhan kamu." Mereka berkata: "Kami berlindung kepada Allah terhadap engkau. Kami akan tetap di sini, sampai Tuhan kami datang. Apabila Dia datang nescaya kami akan mengenalNya." Lalu Allah datang kepada mereka dalam rupa yang mereka kenal dan berkata: "Aku Tuhan kamu." Mereka menjawab: " Engkau Tuhan kami!" Mereka hendak mengikuti Tuhan. Maka dibentangkan titian melintasi neraka. Rasulullah saw. bersabda: "Akulah orang yang pertama melalui titian itu. Doa Rasul-rasul ketika itu ialah: "Ya Allah, selamatkan, selamatkan!" Pada titian itu ada beberapa kaitan, serupa dengan duri kayu Saadan. Sudah pernahkah kamu melihat duri kayu Saadan itu?" Mereka menjawab: "Sudah, ya Rasulullah!" Kata Nabi: "Sesungguhnya kaitan itu serupa duri kayu Saadan, tetapi ukuran besarnya hanya Allah yang mengetahui. Setiap orang disambarnya menurut amalan masing-masing. Ada yang binasa kerana amalnya dan ada yang terganggu, kemudian selamat. Setelah Allah selesai mengadili hamba-hambaNya dan hendak mengeluarkan dari neraka siapa yang hendak dikeluarkanNya dari antara orang yang pernah mengucapkan pengakuan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, diperintahkanNya malaikat mengeluarkan mereka dari neraka dan dapat dikenal dengan bekas Sujud (s olat). Tuhan melarang api neraka memakan (membakar) bekas sujud itu. Lalu disiramkan kepada mereka air yang dinamakan "air kehidupan". Maka tumbuhlah badan mereka bagai bibit di atas sampah bekas banjir." Tinggal lagi seorang yang mukanya menghadap ke neraka dan dia mendoa: "Ya Tuhan! Sesungguhnya sangat menyakitkan aku bau neraka dan nyalanya membakar aku. Sebab itu, palingkanlah muka ku dari neraka!" Orang itu terus mendoa dan Tuhan menjawab: "Boleh jadi jika permintaan engkau itu Aku beri, engkau akan meminta lagi yang lain?" Jawabnya: "Demi kekuasaan Engkau, aku tidak akan meminta lagi yang lain." Lalu dipalingkan Tuhan mukanya dari neraka. Sesudah itu dia memohon lagi: "Ya Tuhan ku! Dekatkanlah kiranya aku ke pintu syurga!" Tuhan berkata: "Bukankah engkau telah mengatakan, tidak akan meminta lagi hal yang lain? Ah, anak Adam! Engkau amat penipu!" Orang itu sentiasa mendoa, lalu Tuhan menjawab: "Boleh jadi jika Aku perkenankan permintaan engkau itu, engkau akan meminta lagi yang lain?" Katanya: "Demi kekuasaan Engkau, aku tidak akan meminta lagi yang lain." Dikemukakan Allah perjanjian yang dikehendakiNya, ahawa orang itu tidak akan meminta lagi hal yang lain. Lalu dia, didekatkan Tuhan ke pintu syurga. Setelah dilihatnya apa yang ada dalam syurga, dia diam barang seketika. Sesudah itu dia, memohon lagi: "Ya Tuhan ku! Masukkanlah aku ke dalam syurga!" Tuhan berkata lagi: "Bukankah engkau telah mengakui tidak akan meminta kepada Ku tambahannya? Ah, anak Adam! Engkau amat penipu!" Lalu dia memohon: "Ya Tuhan ku! Janganlah kiranya, Engkau jadikan aku makhluk yang amat malang!" Orang itu sentiasa mendoa, sampai Tuhan gembira. Setelah Tuhan gembira, diizinkannya orang itu masuk ke dalam syurga. Setelah dia masuk syurga, dikatakan kepadanya: "Kemukakanlah keinginanmu selain ini" Lalu dikemukakannya keinginannya. Dikatakan lagi kepadanya: "Kemukakanlah keinginan kamu, selain ini!" Lalu dikemukakannya segala keinginannya sampai habis segala keinginannya. Lalu Tuhan berfirman: "Semua ini untuk engkau dan ada lagi tambahannya sebanyak itu pula."

135  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0935.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Allah berfirman: "Setiap amal anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku, dan Aku membalasi puasanya itu. Puasa itu bagaikan perisai; maka apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah berkata kotor dan jangan pula berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya, maka hendaklah ia mengatakan: 'Aku ini puasa.' Demi Allah, yang diri Muhammad berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Bagi orang yang puasa ada dua kegembiraan yang menggembirakannya: Apabila ia berbuka ia gembira, dan apabila ia menemui Tuhannya, ia gembira dengan puasanya. "

136  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0981.
Dari Humaid dari Anas r.a., katanya: "Nabi saw. datang ke rumah Ummu Sulaim, maka dihidangkannya kepada Nabi kurma dan minyak samin. Sabda Nabi saw., "Kembalikanlah saminmu ke mangkoknya dan kurma ke dalam karungnya, kerana aku puasa." Kemudian beliau pergi ke salah satu sudut rumah, lalu beliau solat sunat di sana. Sesudah itu beliau mendoa untuk Ummu Sulaim dan keluarganya. Kata Ummu Sulaim, "Ya, Rasulullah! Sesungguhnya aku mempunyai suatu keperluan." Tanya Nabi, "Apakah itu?" Kata Ummu Sulaim, "(Doakanlah) untuk khadim Tuan, Anas." Beliau tiada meninggalkan kebaikan dunia dan akhirat, melainkan mendoa bagi ku dengan kebaikan itu. Doanya: "Ya, Allah! Berilah dia harta dan anak, dan berilah berkat kepadanya. Sesungguhnya saya orang Ansar yang banyak harta. Kata Humaid, "Anaknya Umainah menceritakan, bahawa Anas dikuburkan sesudah digantung ketika Hajjaj datang ke Bashrah, dalam umur kurang lebih seratus dua puluh tahun."

137  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1527.
Dari Anas r.a., katanya: Nabi s.a.w. memanggil orang Ansar, lalu bersabda: "Adakah di antara kamu seorang yang bukan dari golongan kamu?" Mereka menjawab: "Tidak, kecuali anak saudara perempuan kami". Rasulullah bersabda: "Anak saudara perempuan satu kaum termasuk mereka".

138  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1231.
Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda mengenai anak puteri Hamzah: "Ia tiada halal untuk saya. Haram kerana sesusuan sama dengan haram kerana seketurunan. Dan ia adalah anak dari saudara ku sesusuan".

139  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0013.
Dari 'Ubbadah bin Shamit r.a., salah seorang sahabat Nabi yang turut ambil bahagian dalam perang Badar, dan ikut dalam pertemuan pada malam Aqabah, katanya: "Pada suatu waktu, ketika Rasulullah saw. sedang di kelilingi oleh sekelompok para sahabat, beliau bersabda: "Bai'atlah (berjanjilah) Anda semua dengan ku: (1) Tidak mempersekutukan dengan sesuatu apa pun, (2) Tidak mencuri, (3) Tidak berzina, (4) Tidak membunuh anak-anakmu, (5) Tidak membuat fitnah antara sesama kamu, (6) Tidak durhaka terhadap perintah kebaikan. Barangsiapa menepati perjanjian itu, nescaya ia diberi pahala oleh Allah, dan siapa melanggar salah satu daripadanya, maka dia akan dihukum di dunia ini. Hukuman itu menjadi Kaffarah (denda) baginya. Dan barangsiapa melanggar salah satu daripadanya, kemudian ditutup oleh Allah (tidak diketahui orang, sehingga ia bebas dari hukuman dunia), maka perkaranya terserah kepada Allah. Kalau Allah suka mengampuni, diampuniNyalah, dan kalau Allah hendak menyeksa, diseksaNya. Maka kami semua (para sahabat yang hadir mengelilingi Nabi waktu itu) berjanji kepada beliau atas hal-hal tersebut."

140  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1370.
Dari Salamah r.a., katanya: Saya keluar dari Madinah menuju suatu belukar. Setelah saya berada di tempat yang tinggi di belukar itu, hamba Abdur Rahman bin 'Auf menemui saya. Kata saya: "Wah, mengapa?" Katanya: "Unta perahan Nabi s.a.w. diambil orang". Kata saya: "Siapa mengambilnya?" Katanya: "Orang dari suku Ghathafan dan Fazarah". Saya lalu berteriak tiga kali yang dapat didengar antara dua bukit Madinah: "Tolong, tolong!" Kemudian saya berjalan cepat-cepat sehingga saya bertemu dengan mereka. Benar mereka telah mengambil unta itu. Lalu mereka saya panah, sambil berkata: "Saya anak Akwa'! Hari ini hari binasa bagi penjahat!" Saya rebut unta itu dari mereka sebelum mereka minum, lalu saya halau pulang. Nabi s.a.w. menemui saya dan saya berkata "Hai Rasulullah! Kaum itu kehausan dan sesungguhnya, saya akan mendahului mereka ke tempat minum. Maka kirimlah orang untuk mengikuti jejak mereka!" Beliau lalu bersabda: "Hai anak Akwa'! Engkau boleh! Berbuat baiklah engkau. Kaum itu akan menjadi tetamu kaumnya".